Majlis bacaan surah Yassin, tahlil dan doa selamat telah diadakan pada 15 Oktober 2010 bersamaan 7 Zulkaedah 1431H, bertempat di Surau IPPM pada jam 3 petang. Majlis ini turut dihadiri oleh Yang DiPertua Persiap Y.bhg Datin Wira Noraini Bt Hj Man, Naib Yang Dipertua Puan Norsina Bt Panot, AJK Majlis Tertinggi dan ahli-ahli Persiap IPPM/MPM.
Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Mantan Yang DiPertua Persiap Ybhg Datin Hjh Fatimah Bt Mohamad dan ahli-ahli Bersekutu Persiap, antaranya Puan Helmiah, Puan Rokiah, Puan Fidah dan beberapa orang lagi.
Majlis ilmiah ini diadakan bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim sesama ahli Persiap, disamping menghadiahkan doa-doa kepada kedua ibubapa, sanak-saudara, anak-anak, sahabat-handai dan semua kenalan yang telah meninggal dunia. Semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan roh mereka dalam golongan hambaNya yang beriman. Tidak dilupakan doa turut ditujukan kepada ahli-ahli Persiap dan anak-anak yang sedang menjalani rawatan di hospital dan di rumah dengan harapan semoga semuanya cepat sembuh dan sentiasa dilindungi Allah Taala.
Kesempatan berkumpul dalam majlis ilmu ini, Persiap turut meraikan ahli yang bakal mengerjakan ibadah haji pada tahun ini. Antaranya ialah Puan Musalmah yang akan berangkat mengerjakan ibadah haji bersama suami iaitu; PKK Nor Afifi dari bahagian Parol KDN pada 22 Oktober 2010. Didoakan semoga Puan Musalmah dan suami serta warga Jabatan Penjara Malaysia yang mengerjakan ibadah haji tahun ini sentiasa dalam lindungan Allah, selamat dalam perjalanan pergi dan selamat kembali serta memperolehi Haji Mabrur.